Enakmen 5 Tahun 2008
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) 2008

BAHAGIAN IV - KEWANGAN
Baitulmal dan Tatacara Kewangan Majlis



Seksyen 48. Anggaran pendapatan dan belanjawan

(1) Majlis hendaklah, menyediakan dan menyembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, tidak lewat daripada 31 haribulan Oktober dalam setiap tahun, anggaran kesemua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk anggaran segala harta dan segala barang boleh lupus, berkenaan dengan tahun yang berikutnya.

(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh meluluskan anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya ia dipinda.

(3) Anggaran yang diluluskan, dengan atau tanpa pindaan di bawah subseksyen (2), bolehlah disiarkan dalam Warta.

(4) Majlis boleh pada bila-bila masa menyembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum 31 haribulan Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang sebelumnya, dan anggaran itu boleh diluluskan atau dipinda, dan bolehlah disiarkan, mengikut subseksyen (2) dan (3).

(5) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang, kecuali mengikut anggaran yang diperuntukkan dalam seksyen ini dan dengan berdasarkan baucar yang ditandatangani oleh Yang Dipertua atau mana-mana pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberi kuasa oleh Yang Dipertua.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.