ENAKMEN 2 TAHUN 1984
ENAKMEN ATURCARA MAL ISLAM 1979

BAHAGIAN XIX - PERLAKSANAAN



Seksyen 159. Penjara.


(1) Di dalam seksyen ini "si berhutang-hukuman" termasuk seorang garnishee yang terhadapnya suatu perintah telah dibuat melalui saman garnishee.

(2) Jika seorang si berhutang-hukuman didapati bersalah kerana menghina Mahkamah di bawah peruntukan Bahagian ini atau dengan sengaja enggan atau cuai mematuhi mana-mana perintah Mahkamah mengarahkannya membuat atau jangan membuat sesuatu perbuatan, si piutang-hukuman boleh menyerah kepada Pendaftar dan Pendaftar boleh memeteri, menandatangani dan mengeluarkan suatu notis hukuman dalam borang yang ditetapkan yang mengarahkan si berhutang-hukuman supaya menunjukkan sebab-sebab mengapa ia tidak patut dimasukkan ke penjara. Saman yang demikian hendaklah menyatakan alasan-alasan permohonan itu dan hendaklah diserah ke atas diri si berhutang-hukuman sekurang-kurangnya dua hari genap sebelum pembicaraan itu. Pendaftar boleh dengan budibicaranya menghendaki alasan-alasan permohonan itu dibuktikan dengan ikrar.

(3) Mahkamah semasa membicara saman tersebut boleh mendapat keterangan-keterangan yang ia fikir patut dan boleh memerintah si berhutang-hukuman ke penjara sivil atau boleh mengenakan beliau syarat-syarat yang tertentu atau menerima darinya akujanji yang Mahkamah fikir patut.

(4) Hukuman penjara di bawah seksyen ini tidak boleh ditakrif sebagai menyelesaikan hutang-hukuman atau mana-mana bahagiannya.

(5) Seorang yang telah dipenjarakan di bawah Bahagian ini boleh memohon untuk dibebaskan dengan membuktikan bahawa ia telah mematuhi perintah Mahkamah itu.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.