ENAKMEN 6
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN II - PEMBUKTIAN
BAB 3 - KETERANGAN DOKUMENTAR



Seksyen 49. Keterangan primer


Keterangan primer ertinya dokumen itu sendiri yang dikemukakan untuk pemeriksaan Mahkamah.

Huraian 1—Jika sesuatu dokumen disempurnakan dalam beberapa bahagian, maka setiap bahagian itu ialah keterangan primer bagi dokumen itu.

Jika sesuatu dokumen disempurnakan dalam kaunterpart dan setiap kaunterpart itu disempurnakan oleh satu atau beberapa pihak sahaja, maka setiap kaunterpart itu ialah keterangan primer terhadap pihak yang menyempurnakannya.

Huraian 2—Jika sebilangan dokumen kesemuanya dibuat melalui satu proses yang seragam, seperti dalam hal percetakan, litografi atau fotografi, maka setiap dokumen itu ialah keterangan primer mengenai kandungan yang lainnya itu; tetapi jika dokumen itu adalah semuanya salinan daripada dokumen asal yang sama, maka dokumen itu bukanlah keterangan primer bagi kandungan naskah asal itu.

Huraian 3—Sesuatu dokumen yang dikeluarkan oleh komputer ialah keterangan primer.

Seseorang dibuktikan telah memiliki beberapa plakad, kesemuanya dicetak sekali gus daripada satu dokumen asal. Mana- mana satu daripada plakad itu ialah keterangan primer mengenai kandungan mana-mana plakad yang lain itu, tetapi tiada satu pun daripadanya menjadi keterangan primer bagi kandungan dokumen asal itu.



Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.