J. P.U. 31/86 KAEDAH-KAEDAH JAWATANKUASA MASJID/SURAU NEGERI JOHOR 1986
Kaedah 5. Tanggungjawab dan tugas-tugas Jawatankuasa.
Jawatankuasa Masjid atau Surau hendaklah menjalankan tugas-tugas yang berikut:
(a) menjaga perjalanan dan aturan-aturan bagi Masjid atau Surau dan semua tanah perkuburan dan tanah wakaf orang-orang Islam di dalam kampung atau kawasannya.
(b) hendaklah mentadbirkan dan mengambil tahu kedudukan semua tanah wakaf dan perkuburan di kampung atau kawasannya dan senantiasa menjaga kebersihan, keselamatan. Jawatankuasa juga bertanggungjawab bagi mengawasi, memungut segala hasil wakaf bagi diamanahkan kepada Kadi Daerah.
(c) hendaklah bertanggungjawab bagi memajukan tanah-tanah wakaf untuk mendapatkan hasil setelah mendapat kelulusan Majlis.
(d) bertanggungjawab pada memberi nasihat kepada penduduk kampung atau kawasannya dalam perkara yang bersabit dengan Hal Ehwal Agama Islam.
(e) hendaklah memberitahu Kadi Daerahnya dengan seberapa segera akan perkara-perkara yang menyalahi mengikut kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1978 bagi tindakannya.
(f) bertanggungjawab bagi memberitahu Kadi Daerahnya dengan segera akan kekosongan Pegawai-Pegawai Masjid atau Surau yang telah atau akan berlaku di dalam kampungnya atau kawasannya dari semasa ke semasa dan hendaklah menghantar nama-nama calon penggantinya dengan butiran lengkap.
(g) boleh mengutip, memungut atau menerima derma khairat, hadiah atau wakaf untuk kebajikan Masjid atau Surau sesudah mendapat kebenaran bertulis dari Yang Dipertua, Jabatan Agama Johor.
(h) bertanggungjawab pada melarang sebarang kerja-kerja pembinaan di atas tanah-tanah wakaf dan perkuburan Islam tanpa ada kebenaran bertulis dari Yang Dipertua, Jabatan Agama Johor. Kiranya seseorang itu tidak mematuhi arahan atau amaran Jawatankuasa maka Jawatankuasa hendaklah memberitahu Kadi Daerahnya bagi dibawa ke Jabatan Agama Johor untuk tindakan selanjutnya.
(i) hendaklah memberitahu Kadi Daerah akan apa-apa kelakuan yang tidak diingini atau perkara yang menyalahi aturan atau arahan atau amaran Jabatan Agama Johor yang dilakukan oleh salah seorang atau beberapa orang Ahli Jawatankuasa Masjid atau Surau untuk tindakan selanjutnya.
(j) hendaklah menyampaikan maklumat dengan segera kepada Kadi Daerah berkenaan dengan kejadian atau perbuatan melanggar atau bertentangan dengan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1978.
(k) hendaklah melaksanakan mana-mana arahan bertulis yang dikeluarkan oleh Majlis atau Jabatan mengikut kuatkuasa Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 1978 [Bil. 14].
(l) bertanggungjawab pada mengawal akan semua kegiatan keagamaan Islam, seperti syarahanm ceramah, muzakarah, dakwah, dialog kelas-kelas, kursus, seminar, perhimpunan, taklimat dan Majlis-majlis Sambutan hari-hari kebesaran Islam dari semasa ke semasa.
(m) bertanggungjawab pada menjalankan daya usaha untuk mengekal, memperbaiki dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan masyarakat orang-orang Islam di dalam Kampung atau kawasannya dan berusaha mencari jalan untuk meninggikan taraf hidup dan ekonomi orang-orang Islam serta menambahkan amalan taqwa kepada Allah.