Phg. P.U. 18/1998 KEDAH-KAEDAH MASJID 1998 BAHAGIAN II - FUNGSI DAN PENGURUSAN MASJID
Kaedah 11. Fungsi Jawatankuasa Kariah.
Fungsi Jawatankuasa Kariah selain daripada yang diperuntukkan dalam subseksyen 98(2) Enakmen, adalah seperti berikut-
(a) Membuat dan menyimpan daftar ahli-ahli kariah dan menyemak serta membetulkan daftar itu setahun sekali pada bulan Disember;
(b) menggalakkan ahli kariah bersembahyang jemaah di masjid;
(c) mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam;
(d) menguruskan kelas fardu ain, fardu kifayah, kuliah, syarahan, kelas Al-Quran, forum dan kegiatan-kegiatan lain yang berkaitan dengan agama Islam;
(e) mengambil tahu dan melaporkan kepada majlis melalui Pegawai Agama Islam Daerah mengenai perkara penyelewengan akidah dan ajaran yang meragukan yang berlaku dalam kariahnya;
(f) mengesyorkan kepada Majlis melalui Pegawai Agama Islam Daerah mengenai kebajikan masjid dan ahli kariah;
(g) berusaha menambah kewangan dan harta modal masjid melalui usaha-usaha yang difikirkannya munasabah;
(h) memaklumkan kepada Pegawai Agama Islam Daerah segala aktiviti dan program keagamaan yang dicadangkan hendak diadakan dalam kariahnya dan Pegawai Agama Islam Daerah boleh membuat keputusan mengenai aktiviti atau program itu; dan
(i) menjalankan tugas yang diarahkan oleh Majlis, Jabatan atau Pejabat Agama Islam Daerah, mengikut mana yang berkenaan, dari semasa ke semasa.