Phg. P.U. 18/1998
KEDAH-KAEDAH MASJID 1998
BAHAGIAN II - FUNGSI DAN PENGURUSAN MASJID




Kaedah 9. Pemilihan tiga orang anggota Jawatankuasa Kariah.

(1) Tiga orang anggota Jawatankuasa Kariah hendaklah dipilih oleh ahli-ahli kariah dari kalangan ahli-ahli kariah dalam mesyuarat agung ahli kariah.

(2) Mana-mana ahli kariah yang berumur lapan belas tahun ke atas boleh memohon kepada Pegawai Agama Islam Daerah untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih.

(3) Pegawai Agama Islam Daerah hendaklah mempastikan pemohon berkenaan adalah sebenarnya ahli kariah sebelum mendaftarkannya sebagai pemilih.

(4) Setelah berpuas hati bahawa pemohon berkenaan adalah ahli kariah, Pegawai Agama Islam Daerah hendaklah memasukkan butir-butir diri pemohon dalam suatu Daftar Pemilih yang hendaklah disimpan oleh Pegawai Agama Islam Daerah.

(5) Dalam pemilihan tiga orang anggota Jawatankuasa Kariah, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pemilih berdaftar hendaklah hadir.

(6) Seorang ahli kariah yang dipilih oleh ahli-ahli kariah pada permulaan mesyuarat agung ahli kariah hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu bagi memilih anggota-anggota Jawatankuasa Kariah.

(7) Walau apa pun peruntukan subkaedah (1), pemilihan tiga orang anggota Jawatankuasa kariah oleh ahli-ahli kariah hendaklah tertakluk kepada persetujuan Pegawai Agama Islam Daerah dan diluluskan oleh Majlis setelah berpuas hati bahawa tiga orang anggota yang dipilih itu adalah ahli kariah, mempunyai latar belakang yang sesuai demi perpaduan ummah dan memenuhi apa-apa kriteria lain yang difikirkan wajar oleh Majlis.

(8) Sekiranya Pegawai Agama Islam Daerah tidak bersetuju dengan pemilihan mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota Jawatankuasa Kariah atas apa jua sebab yang difikirkannya munasabah, maka Pegawai Agama Islam Daerah hendaklah memilih sendiri mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota Jawatankuasa Kariah dan mengemukakan butir-butir lengkap yang difikirkannya wajar mengenai mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota yang dipilihnya itu kepada Majlis untuk kelulusan.

(9) Sekiranya Majlis tidak meluluskan pemilihan mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota Jawatankuasa Kariah oleh ahli-ahli kariah yang dipersetujui oleh Pegawai Agama Islam Daerah, maka majlis hendaklah mengarahkan Pegawai Agama Islam Daerah memilih sendiri mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota yang tidak diluluskan oleh Majlis itu dan Pegawai Agama Islam Daerah hendaklah memilih dan mengemukakan butir-butir lengkap yang difikirkannya wajar mengenai mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota yang dipilihnya itu kepada Majlis untuk kelulusan.

(10) Sekiranya Majlis tidak meluluskan pemilihan mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota Jawatankuasa Kariah oleh Pegawai Agama Islam daerah di bawah subkaedah (8) dan (9), maka Majlis hendaklah mengarahkan Pegawai Agama Islam Daerah mengemukakan butir-butir lengkap mengenai beberapa orang yang difikirkan layak menjadi anggota jawatankuasa Kariah kepada Masjid bagi membolehkan Majlis memilih sendiri mana-mana daripada tiga atau ketiga-tiga anggota Jawatankuasa Kariah.
[Pin. Phg. P.U. 8/01]



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.