Pg. P.U. 4/97 KAEDAH-KAEDAH JAWATANKUASA QARYAH DAN PEGAWAI MASJID (NEGERI PULAU PINANG) 1997 BAHAGIAN IV - FUNGSI JAWATANKUASA QARYAH DAN PEGAWAI MASJID
Kaedah 12. Tugas-tugas Bendahari.
Selain daripada tugas-tugas yang diperuntukkan oleh Kaedah 28, Bendahari Jawatankuasa Qaryah bagi sesuatu qaryah masjid hendaklah-
(a) menghadiri tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Qaryah masjid itu;
(b) bersama dengan Pengerusi atau, jika Pengerusi tiada, bersama dengan Setiausaha, menandatangani semua cek yang dikeluarkan bagi pihak masjid itu;
(c) mengawal dan menyimpan akaun yang betul bagi hal ehwal kewangan masjid itu dalam buku akaun kewangannya;
(d) menerima segala wang yang dibayar atau diberikan kepada Jawatankuasa Qaryah bagi sesuatu qaryah masjid itu dan mengeluarkan resit baginya;
(e) mengawal, menyelia dan menerima wang kutipan derma khairat dan derma tabung masjid;
(f) membuat bayaran yang telah diluluskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Qaryah itu dan mengadakan baucar-baucar pembayaran yang sempurna dan sah baginya;
(g) menyediakan Penyata Kewangan dalam buku yang disediakan oleh MAINPP dan dibentangkan pada tiap-tiap kali mesyuarat Jawatankuasa Qaryah dan mengemukakannya kepada MAINPP;
(h) semasa menjalankan tugasnya, mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh MAINPP atau JAIPP tentang pengurusan kewangan masjid di Pulau Pinang;
(i) menyediakan penyata kewangan masjid itu bagi tahun semasa dan membentangkannya dalam mesyuarat tahunan dan menyediakan anggaran pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun hadapan;
(j) menerima dan mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh MAINPP atau JAIPP atau Pengerusi Jawatankuasa; dan
(k) membuka dan mengurus satu akaun bank bagi tabung kewangan masjid atau memohon kelulusan daripada MAINPP untuk penambahan akaun lebih daripada satu.