Pg. P.U. 4/97 KAEDAH-KAEDAH JAWATANKUASA QARYAH DAN PEGAWAI MASJID (NEGERI PULAU PINANG) 1997 BAHAGIAN IV - FUNGSI JAWATANKUASA QARYAH DAN PEGAWAI MASJID
Kaedah 11. Tugas-tugas Setiausaha.
Setiausaha Jawatankuasa Qaryah hendaklah-
(a) membantu Jawatankuasa Qaryah bagi sesuatu qaryah masjid itu melaksanakan tugas-tugas mereka mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah ini;
(b) memanggil mesyuarat dan mesyuarat khas Jawatankuasa Qaryah itu, atau mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat agung khas bagi qaryah masjid itu atau apa-apa mesyuarat lain yang diarahkan oleh MAINPP dan menjalankan segala keputusannya
(c) menghadiri tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Qaryah itu, mencatatkan butir-butir dan keputusan mesyuarat itu serta mengedarkan minit-minit mesyuarat kepada ahli mesyuarat yang berkenaan pada atau sebelum mesyuarat yang berikutnya;
(d) menyediakan laporan tahunan ten tang kegiatan qaryah masjid itu;
(e) mengendalikan segala surat-menyurat dan menyimpan segala rekod kegiatan, buku-buku, cop-cop dan dokumen-dokumen Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Qaryah itu;
(f) bersama-sama Bendahari, jika Pengerusi tiada, menandatangani cek-cek yang dikeluarkan bagi pihak masjid itu;
(g) menyimpan daftar nama-nama anak-anak qaryah, dan rumah-rumah orang Islam dan harta-harta wakaf dalam qaryah; dan
(h) menerima dan mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh MAINPP atau JAIPP atau oleh Pengerusi Jawatankuasa Qaryah.