Pg. P.U. 4/97
KAEDAH-KAEDAH JAWATANKUASA QARYAH DAN PEGAWAI MASJID (NEGERI PULAU PINANG) 1997
BAHAGIAN VI - MESYUARAT




Kaedah 22. Mesyuarat Jawatankuasa Qaryah.

(1) Mesyuarat Jawatankuasa Qaryah hendaklah diadakan sekurang-kurangnya dua bulan sekali.

(2) Pengerusi Jawatankuasa Qaryah bagi sesuatu qaryah masjid itu hendaklah mempengerusikan setiap mesyuarat Jawatankuasa Qaryah untuk qaryah masjid itu, dan jika Pengerusi tidak hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Qaryah hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(3) Jika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir, ahli Jawatankuasa yang hadir boleh melantik salah seorang daripada yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

(4) Tujuh orang ahli Jawatankuasa yang hadir hendaklah membentuk kuorum bagi mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Qaryah.

(5) Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Qaryah hendaklah dibuat mengikut undi majoriti ahli-ahli Jawatankuasa Qaryah itu yang hadir. Sekiranya terdapat bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi, atau Timbalan Pengerusi atau ahli Jawatankuasa Qaryah yang mempengerusikan mesyuarat itu adalah berhak memberi undi pemutus.

(6) Tertakluk kepada Kaedah-Kaedah ini dan apa-apa arahan MAINPP atau JAIPP, Jawatankuasa Qaryah boleh menetapkan prosedur mesyuaratnya sendiri.

(7) Minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Qaryah hendaklah dikemukakan kepada MAINPP dengan seberapa segera.

(8) Jawatankuasa hendaklah memberi sekurang-kurangnya tiga hari notis bertulis sebelum mengadakan sesuatu mesyuarat.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.