Pk. P.U. 10/2013
PERATURAN-PERATURAN PENGAWASAN PENGAJARAN DAN SYARAHAN AGAMA 2013
BAHAGIAN III - SYARAHAN AGAMA




Peraturan 11. Penganjur syarahan agama.

(1) Seseorang yang hendak menjadi penganjur syarahan agama di Negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah memohon untuk mendapat kebenaran bertulis daripada Pegawai Tadbir Agama di mana syarahan agama itu hendak dianjurkan.

(2) Permohonan itu hendaklah dibuat dalam Borang SI dalam Jadual dan dikemukakan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh syarahan itu.

(3) Dalam menimbangkan sesuatu permohonan di bawah peraturan ini, Pegawai Tadbir Agama hendaklah merujuk kepada dan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Mufti.

(4) Jika terdapat keraguan dalam menimbangkan sesuatu permohonan, Pegawai Tadbir Agama hendaklah merujuk kepada Mufti dan apa-apa arahan Mufti hendaklah dipatuhi.

(5) Tertakluk kepada subperaturan (4), Pegawai Tadbir Agama boleh menolak sesuatu permohonan tanpa memberikan apa-apa alasan.

(6) Kebenaran bertulis Pegawai Tadbir Agama hendaklah dalam Borang SII dalam Jadual dan adalah tertakluk kepada fi yang ditetapkan oleh Majlis.

(7) Pegawai Tadbir Agama boleh mengenakan apa-apa syarat berkenaan dengan kebenaran untuk menganjurkan syarahan agama di bawah Peraturan-Peraturan ini.

(8) Orang yang mendapat kebenaran untuk menganjurkan syarahan agama hendaklah mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Pegawai Tadbir Agama dan jika mana-mana syarat itu tidak dipatuhi, maka Pegawai Tadbir Agama hendaklah membatalkan kebenaran yang telah diberikan.

(9) Penganjur hendaklah memberitahu Pegawai Tadbir Agama mengenai apa-apa perubahan maklumat yang terdapat dalam borang permohonan dan Pegawai Tadbir Agama boleh membatalkan kebenaran yang telah dikeluarkan mengikut budi bicaranya.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.