Pk. P.U. 17/2003 KAEDAH-KAEDAH PEGUAM SYARIE (PERAK) 2003 BAHAGIAN II - PENUBUHAN JAWATANKUASA PENERIMAAN PEGUAM SYARIE
Kaedah 7. Fungsi Jawatankuasa
Jawatankuasa hendaklah mempunyai fungsi-fungsi yang berikut, iaitu-
(a) menjalankan apa-apa temu duga atau peperiksaan bertulis bagi mana-mana pemohon yang memohon untuk diterima sebagai Peguam Syarie sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa dan untuk mengadakan semua perkara lain yang perlu atau bersampingan dengan temu duga atau peperiksaan bertulis itu, termasuklah-
(i) menetapkan tarikh dan tempat temu duga atau peperiksaan bertulis;
(ii) menyediakan soalan-soalan untuk temu duga atau peperiksaan bertulis;
(iii) menimbang dan menilai jawapan dalam temu duga dan memeriksa jawapan peperiksaan bertulis;
(b) memperakukan kepada Majlis pemohon yang berjaya dalam temu duga atau peperiksaan bertulis;
(c) menjalankan tindakan tatatertib terhadap seseorang Peguam Syarie mengenai kelakuannya atas sifat profesional atau peribadinya;
(d) mengeluarkan Sijil Amalan Guaman Syarie; dan
(e) menjalankan apa-apa arahan Majlis yang tidak bertentangan dengan Kaedah-Kaedah ini.