Pk. P.U. 2/2015
PERATURAN-PERATURAN JAWATAN KUASA KARIAH NEGERI PERAK 2015
BAHAGIAN IV - PROSEDUR MESYUARAT JAWATANKUASA KARIAH




Peraturan 16. Mesyuarat Jawatankuasa Kariah

(1) Semua mesyuarat Jawatankuasa Kariah hendaklah dipanggil oleh Setiausaha atas arahan Pengerusi. Walau apa pun, Pegawai Tadbir Agama boleh, dalam keadaan tertentu, mengarahkan mana-mana Jawatankuasa Kariah mengadakan mesyuarat. Mana-mana Jawatankuasa Kariah yang tidak mematuhi arahan Pegawai Tadbir Agama di bawah subperaturan ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini.

(2) Pengerusi boleh pada bila-bila masa mengarahkan Setiausaha atau mana-mana anggota Jawatankuasa Kariah memanggil mesyuarat.

(3) Jika Pengerusi tidak hadir atau tidak dapat bertindak kerana sakit atau apa-apa sebab lain, dalam mana-mana mesyuarat, Timbalan Pengerusi hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(4) Jika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir dalam sesuatu mesyuarat, anggota-anggota yang hadir hendaklah memilih seorang daripada kalangan mereka untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

(5) Jawatankuasa Kariah hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan.

(6) Semua keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kariah hendaklah dibuat secara persetujuan atau melalui ketetapan majoriti anggota yang hadir dan berhak mengundi dan jika terdapat persamaan undi, Pengerusi, Timbalan Pengerusi atau anggota yang mempengerusikan mesyuarat itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah mempunyai undi pemutus.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.