Sel. P.U. 347/2007
PERATURAN -PERATURAN PEGAWAI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (KELAKUAN DAN TATATERTIB ) 2007

Bahagian X - PENAMATAN DEMI KEPENTINGAN AWAM



Peraturan 58. Penamatan demi kepentingan awam

(1) Walau apa pun apa-apa peruntukan dalam Peraturan-Peraturan ini, jika Majlis mendapati atau jika representasi dibuat kepada Majlis bahawa adalah wajar perkhidmatan seseorang pegawai ditamatkan demi kepentingan awam, Majlis bolehlah meminta laporan penuh daripada Ketua Bahagian di mana pegawai itu sedang berkhidmat atau telah berkhidmat.

(2) Laporan tersebut hendaklah mengandungi butir-butir berhubungan dengan kerja dan kelakuan pegawai itu dan ulasan-ulasan Ketua Bahagian, jika ada.

(3) Jika, setelah menimbang laporan yang diterima di bawah subperaturan (1), Majlis berpuas hati bahawa memandangkan syarat-syarat perkhidmatan, kegunaan pegawai itu kepada perkhidmatan, kerja dan kelakuan pegawai itu dan segala hal keadaan lain kes itu, adalah wajar demi kepentingan awam untuk berbuat demikian, Majlis boleh mengesyorkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai itu mulai dari tarikh yang ditentukan oleh Majlis.

(4) Adalah sah di sisi undang-undang bagi Jawatankuasa Tatatertib untuk mengesyorkan kepada Majlis bahawa perkhidmatan seseorang pegawai itu ditamatkan demi kepentingan awam walau pun prosiding tatatertib belum dijalankan di bawah mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan ini dan Majlis boleh mengesyorkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai tersebut.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Peraturan-Peraturan ini dan mana-mana undang-undang lain yang berlawanan, apabila menamatkan perkhidmatan mana-mana pegawai demi kepentingan awam di bawah Peraturan ini, pegawai itu boleh tidak diberikan apa-apa peluang untuk didengar dan seseorang pegawai yang perkhidmatannya telah ditamatkan demi kepentingan awam di bawah Peraturan ini tidak boleh bagi maksud Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan, dianggapkan telah dibuang kerja, tidak kira sama ada penamatan perkhidmatan pegawai itu melibatkan suatu elemen hukuman atau yang berkaitan dengan kelakuan berhubungan dengan jawatannya yang Majlis menganggap tidak memuaskan atau patut disalahkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.