Sel. P.U. 347/2007
PERATURAN -PERATURAN PEGAWAI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (KELAKUAN DAN TATATERTIB ) 2007

Bahagian IV - TATAKELAKUAN



Peraturan 15. Pemunyaan harta

(1) Seseorang pegawai hendaklah, apabila dilantik ke perkhidmatan Majlis atau pada bila-bila masa selepas itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Majlis, mengisytiharkan secara bertulis kepada Ketua Jabatan, segala harta yang dipunyai olehnya atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya atau bagi pihak isteri atau suaminya atau anaknya.

(2) Seseorang pegawai yang tidak mempunyai apa-apa harta hendaklah membuat suatu perisytiharan secara bertulis yang menyatakan sedemikian.

(3) Jika, selepas membuat suatu perisytiharan di bawah subperaturan (1), seseorang pegawai atau isteri atau suaminya atau anaknya memperoleh apa-apa harta, sama ada secara langsung atau tidak langsung, atau apa-apa harta yang telah diperoleh olehnya atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya dilupuskan, pegawai itu hendaklah dengan segera, mengisytiharkan pemerolehan atau pelupusan harta itu kepada Ketua Jabatan.

(4) Jika seseorang pegawai atau isteri atau suaminya atau anaknya bercadang hendak memperolehi apa-apa harta, dan pemerolehan itu adalah tidak selaras dengan Peraturan 8, pemerolehan itu tidak boleh dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan.

(5) Dalam memutuskan sama ada atau tidak hendak memberikan kebenaran di bawah subperaturan (4), Ketua Jabatan hendaklah mengambil kira perkara yang berikut:

(a) saiz, amaun atau nilai harta itu berbanding dengan emolumen pegawai itu dan apa-apa pendapatan persendirian yang sah;

(b) sama ada pemerolehan atau pemegangan harta itu akan atau mungkin akan bercanggah dengan kepentingan Majlis, atau dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai Majlis atau dengan apa-apa cara menjadi tidak selaras dengan Peraturan 8;

(c) apa-apa faktor lain yang dianggap perlu oleh Ketua Jabatan bagi menjaga keutuhan dan kecekapan Majlis dan pegawai Majlis.

(6) Ketua Jabatan hendaklah, jika dia berpuashati dengan perisytiharan harta yang dibuat oleh pegawai itu, mengarahkan supaya ia dicatatkan di dalam rekod perkhidmatan pegawai itu bahawa perisytiharan sedemikian telah dibuat.

(7) Tiap-tiap perisytiharan di bawah subperaturan (1) hendaklah diklasifikasikan sebagai terperingkat dan tiap-tiap orang yang memperoleh maklumat di bawah Peraturan ini tentang apa-apa perisytiharan sedemikian hendaklah mematuhi prosedur dan Peraturan-Peraturan berkenaan dengan pengurusan dokumen terperingkat Majlis.

(8) Dalam Peraturan ini, “harta” termasuklah harta daripada apa-apa perihalan, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.