ENAKMEN JENAYAH (SYARIAH) 1992
3/1992
BahagianBAHAGIAN I PEMULAAN
Bab

Seksyen2 - Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"akil baligh" ertinya telah cukup umur mengikut Hukum Syara';

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh sama ada dia telah berkahwin atau belum;

"bersekedudukan" ertinya tinggal atau duduk bersama antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isteri atau suami masing-masing dalam satu rumah, bilik atau tempat dalam hal-keadaan yang mendatangkan syak bahawa persetubuhan haram berlaku antara mereka;

"ghairu muabbad" ertinya haram nikah buat sementara;

"Hakim" ertinya Hakim mana-mana Mahkamah Syariah;

"li'an" maksudnya keadaan di mana seseorang lelaki dengan lafaz sumpah mengikut Hukum Syara' menuduh isterinya melakukan persetubuhan haram;

"Mahkamah Syariah" atau "Mahkamah" ertinya mana-mana Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah undang-undang Negeri;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak;

"muabbad" ertinya haram nikah buat selama-lamanya;

"musahaqah" ertinya perhubungan sex sejenis antara perempuan dengan perempuan;

"percubaan persetubuhan haram" ertinya perbuatan-perbuatan yang dilakukan bersama oleh lelaki dan perempuan yang mendorong mereka kepada persetubuhan haram;

"perempuan bersuami" ertinya seseorang perempuan yang telah bernikah dan dia masih di dalam nikahnya lagi;

"persetubuhan haram" ertinya persetubuhan selain daripada rogol dan persetubuhan syubhah antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan suami-isteri;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuklah mana-mana persetubuhan yang tidak boleh dihukum Had dalam Islam;

"sumbang" ertinya suatu perbuatan atau siri perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syara' antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang ditegah berkahwin;

"takfir" ertinya mengkafirkan orang Islam;

"thayyib" ertinya seorang perempuan yang belum berkahwin tetapi pernah bersetubuh.

Enak. 2/92.(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditafsir di dalamnya tetapi ditafsirkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Enakmen tersebut.

(3) Jika timbul sebarang kekeliruan atau kekaburan dalam memberi tafsiran sesuatu perkataan atau ungkapan berhubungan dengan Hukum Syara', maka adalah menjadi budibicara Mahkamah untuk menentukan tafsiran perkataan dan ungkapan tersebut.



EmelSimpanCetak


Tutup